Satu cerita yang aku telah baca pada tahun lepas sumbangan dari seorang rakan...namun Ramadahan tahun ni aku ingin kongsi kembali cerita ini dengan pengunjung-pengunjung yang lain..
Bab 1
Rasulullah Sallahu alaihi wasallam bersabda, ”Tidaklah menimpa seorang mukmin rasa sakit yang terus menerus, kepayahan, penyakit, dan juga kesedihan, bahkan sampai kesusahan yang menyusahkannya, melainkan akan dihapuskan dengannya dosa-dosanya.” (HR. Muslim)
“Kau muntah-muntah teruk ni Nuar...berehat di rumah sajalah...”
“Jauh daripada nyawa lah Qush...lihat aku sekarang, masih boleh berdiri tegak bukan?”
“Habis tu, sampai merah pekat darah yang kau muntahkan tadi, masih kau cakap jauh daripada nyawa?”
“Darah sahabatku....sudah pasti merah warnanya. Lainlah kalau aku muntah darah hijau...itu baru kau patut bimbang. Aku lah alien...hahahaha!”
“Cakap dengan kau memang susah! Perkara serius sebegini boleh lagi kau main-mainkan. Aku bimbang dengan keadaan kau Anuar Arasy!”
“Yalah-yalah...aku berterima kasih sangat-sangat pada kau Qushairi sebab sentiasa prihatin dengan kesihatan aku but believe me my friend, I am fine right now. Don’t worry ok?”
“Kalau kau dah cakap macam tu...hurmmm...marilah kita pergi sekarang.”
Anuar tersenyum lebar melihat riak wajah teman serumahnya, Qushairi yang jelas terpapar rasa tidak puas hati lelaki itu. Hendak tidak hendak, Qushairi mencapai kunci kereta lantas menghidupkan enjin kenderaannya itu.
Destinasi mereka adalah ke sebuah masjid di tengah-tengah ibukota. Qushairi mengikut saja permintaan Anuar yang mahukan untuk solat terawih malam pertama itu didirikan di Masjid Asy-Syakirin KLCC.
“Tak ada jauh lagi ke masjid yang kau mahu pergi ni, Nuar? Jangan esok lusa kau kata nak sembahyang terawih di Piazza Dei Ciompi pulak...”
“Hahaha...di kota Rome bukan? Kau ingat lagi ye percutian kita tahun lepas? Walaupun sekadar rumah kedai tapi khusyuk bukan sembahyang di sana?”
“Dah dah...kau kalau dilayan, silap-silap esok nanti kau dah tempah tiket flight. Bukan boleh percaya kau ni Nuar! Padahal kat area rumah kita, surau punyalah bersepah! Nak juga sampai ke KLCC ni. Dalam mendirikan sembahyang ni, tak kisah walau di mana pun dahi kita bersujud even di tanah gersang berpasir pun asalkan kita khusyuk dalam menunaikan ibadah.”
“Ye aku faham semua itu. Hudzaifah Radi Allahu anhu pernah berkata, ‘Jauhilah olehmu khusyuk kemunafikan.’ Bila ada yang bertanya apakah khusyuk kemunafikan itu? Hudzaifah menjawab, ‘Khusyuk kemunafikan itu adalah engkau melihat jasad seseorang dalam keadaan khusyuk, sedangkan hatinya tidak dalam keadaan khusyuk.’”
“Hah, tahu takpe. Habis tu, kenapa perlu sampai ke masjid KLCC sedangkan kita boleh rasai nikmat kekhusyukkan di mana-mana saja?”
Anuar sekadar menyeringai penuh bermakna, malas dirinya mahu menjawab pertanyaan Qushairi yang begitu fokus dalam pemanduan. Dalam masa lima belas minit, mereka berdua sudah sampai ke tempat yang ditujui. Qushairi memarkirkan keretanya, agak jauh dari perkarangan masjid. Terpaksalah mereka berjalan kaki walaupun tidaklah sejauh mana.
Anuar Arasy begitu teruja untuk menunaikan ibadah solat terawih secara berjemaah. Malam itu adalah malam yang pertama. Keesokkannya, seluruh muslimin muslimat akan berpuasa, rukun Islam ketiga yang wajib dilaksanakan. By hook or by crook. Melainkan ada sebab-sebab tertentu yang tidak membolehkan untuk berpuasa, selebihnya bukan alasan.
Lengkap berbaju melayu berwarna putih suci, Anuar sudah menjejakkan kakinya di hamparan permaidani masjid itu. Qushairi pula terhegeh-hegeh mengambil wuduk kerana terbatal wuduknya yang diambil sedari rumah tadi.
Kelihatan masjid yang luas itu kelihatan sempit dek melimpah-ruah tetamu-tetamu Allah yang memenuhi setiap sudut di dalam masjid tersebut. Anuar mencelah-celah dan mujurlah di saf tengah, masih ada ruang kosong untuk dirinya menunaikan solat sunat dua rakaat tahiyatul masjid. Qushairi cepat-cepat meloloskan diri untuk menempatkan diri di saf bersebelahan sahabatnya itu.
Azan Isyak begitu lunak berkumandang. Entah kenapa Anuar merasakan alunan azan itu sungguh indah dan mengasyik pendengarannya. Hatinya terasa lapang, bebanan masalah yang memberat di kepalanya selama ini seolah-olah hilang daya gravitinya. Lampung. Ringan.
Usai solat Isyak, bermulalah tradisi malam Ramadhan iaitu berterawih dan berwitir tiga rakaat di hujungnya. Lancar pembacaan imam muda itu melontarkan surah-surah agung Al-Quran dalam setiap rakaat solat yang dipimpinnya. Tatkala barisan makmum mengaminkan Al-Fatihah yang dibaca imam, bulu roma Anuar meremang dengan gemaan keinsafan.
“Puas hati?”
Qushairi berbasa-basi menerbitkan soalan itu sejurus selesai ibadah solat terawih di Masjid Asy-Syakirin KLCC. Mereka beriringan berjalan merentasi taman KLCC, perlahan langkah kedua-duanya. Menikmati pesona bintang nun di atas galaksi sana.
“Nabi kita ada bersabda yang membawa maksud, ‘Barangsiapa yang mendirikan (malam) Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keredhaan Allah, akan diampunkan dosanya yang telah lalu.’ Kau pernah dengar bukan sabda ini? Jadi bila kau tanya sama ada aku puas hati atau tidak...sudah tentu jawapan aku NOT YET.”
“Aku faham Nuar, dalam beribadah apatah lagi di bulan mulia ini... tiada peringkat puas hati atau tidak. Cuma soalan aku tadi, aku tanya kau puas hati tak suruh aku jadi driver kau memandu jauh-jauh sampai ke KLCC nak bersolat terawih ni?”
“Ooo...hahahaha. Kau nak tahu jawapan aku? Aku tak puas hati...”
“Hah? Banyak cantik muka kau! Letih tau melayan kerenah pelik kau ni, Nuar. Mujur kau sahabat baik aku dunia akhirat.”
“Hahahaha. Correction! Aku tak cantik, aku jambu je. Kahkahkah.”
“Jambu? Muntah aku ok! Hurmmm...by the way, aku nak tanya sesuatu boleh?”
“Silakan sahabatku...”
“Tadi aku noticed kau macam terpinga-pinga mencari seseorang selepas keluar masjid. Kau ternampak siapa?”
“BALQIS...”
“What? Are you out of your mind?”
“I’m not crazy but I think I saw her...”
“You ‘think’... hahahaha. Aku bukan mahu berkurang ajar tapi kau perlu menerima hakikat Balqis dah lama tiada. Mana mungkin kau ternampakkan Balqis?”
“Itulah sebab aku kata aku fikir nampak dia...bukannya aku kata aku nampak dia. Ada perbezaan di situ ye kawan.”
“Ok ok maafkan aku. Sorry. Barangkali pelanduk dua serupa kot. Dalam dunia kan ada tujuh muka saling tak tumpah...”
“Aku pun rasa camtu. Tapi telekung putih yang perempuan itu pakai tak ubah macam kepunyaan Balqis...hurmmm...entahlah...”
“Ya Allah! Dah sah-sah semua kaum perempuan yang berterawih tadi menyarung telekung putih. Ada yang pink colour ke? Macam-macamlah kau ni!”
Anuar dan Qushairi sudah masuk ke dalam kereta, destinasi mereka adalah home sweet home. Sudah lima belas minit melepasi detik sepuluh malam dan kedua-dua mereka perlu bangkit awal keesokkan harinya untuk bersahur dan bersiap-siaga pergi bekerja.
Sebaik tiba di depan pintu rumah, belum sempat Qushairi mengeluarkan kunci rumah dari poketnya...Anuar tersembam di muka lantai. Darah merah pekat keluar dari mulut lelaki itu. Terpegun Qushairi tidak menyangka sampai begitu sekali keadaan sahabat baiknya itu yang kelihatan terlalu lemah. Drastik.
“I need my Melphalan, Qush...”
Antara dengar tidak dengar, Anuar berbisik...
Bab 2
Firman Allah dalam surah Al Ankabut , ayat 64 yang bermaksud, "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan. Sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)."
“You larat ke ni Nuar? Ambillah cuti...”
“It’s ok. I’m fine Natrah...”
“Then why you look so pale?”
“Puasa kan...”
“Orang lain pun puasa juga tapi merah-merah je muka masing-masing.”
“Blusher tebal sangat tu. Hahahaha. Ok Natrah, I naik tingkat atas sekejap, dah masuk Zohor...”
Muncung bibir Natrah apabila merasakan keprihatinan yang ditunjukkan pada lelaki itu seolah-olah dipermainkan pula. Anuar Arasy memang begitu lumrahnya sedari dulu lagi. Natrah yang sudah bekerja sebumbung dengan lelaki itu selama hampir dua tahun, sedia maklum akan peribadinya. Semua masalah mahu diselesaikan sendiri.
Lagi dua puluh minit masuknya waktu Zohor tetapi Anuar sudah siap berwuduk dan duduk bersila mendengar tazkirah ringkas di surau tempatnya bekerja. Sepanjang bulan Ramadhan seperti tahun-tahun sebelumnya, sudah menjadi amalan pengurusan syarikat di situ menjemput seorang ustaz untuk menyampaikan ilmu agama pada pekerja-pekerja syarikat.
Terpulanglah kepada pekerja itu sendiri sama ada mahu meluangkan masa rehat yang sepatutnya diisi dengan menjamu selera jika bukan di bulan Ramadhan itu digantikan dengan mendengar penyampaian ilmu-ilmu ukhrawi. Anuar ralit memasang telinga.
“Kematian itu suatu yang pasti sebagaimana yang disebut di dalam surah An-Nisa` ayat 78 yang bermaksud, ‘Di mana saja kalian berada, kematian pasti akan mendapati kalian, walaupun kalian berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.’ Jadi perlukah kita merasa takut untuk berdepan kematian saudara-saudara sekalian? Barangkali mereka yang takut pada mati itu kerana menyedari dirinya sudah berbuat dosa tetapi tidak pula mahu menyegerakan taubatnya dan ada sebahagian yang lain pula yang tidak takut akan mati kerana mereka tidak sabar-sabar lagi ingin ketemu Penciptanya.”
Anuar memandang kejernihan raut wajah ustaz di depannya. Lelaki itu barangkali usianya belum mencecah 40an, berkira-kira Anuar di dalam hati. Tampak masih muda bahkan pandangan klise yang mengatakan orang bijak pandai agama ini selalunya berjanggut panjang dan tebal, tercalit kesan hitam di dahi, berjubah dan berserban, kurang tepat sebenarnya.
Lelaki di depannya itu walaupun seorang ustaz tetapi penampilannya seperti orang-orang kebanyakan. Bersongkok, berjanggut nipis dan kemas potongannya malah rasa senang sekali untuk didampingi.
“Ustaz, saya mahu bertanyakan sesuatu. Boleh ke kita mengetahui bila ajal kita sampai? Paling tidak, kita bersedia untuk menghadapinya.”
Seorang lelaki yang duduk di barisan saf paling depan menanyakan soalan kepada ustaz tersebut dan yang lain pula terangguk-angguk mahukan perincian yang serupa. Tidak kenal pula Anuar akan lelaki yang bertanya soalan itu, barangkali pekerja dari syarikat lain yang menyewa bangunan itu.
“Pengetahuan kita sebagai manusia cukup terbatas berbanding pengetahuan Allah Subhana wa taala yang maha mencakupi segalanya. Adapun begitu, diberi kepada kita umat Islam yang unggul imannya untuk mendapat petunjuk akan tanda-tanda sebuah kematian.”
Penerangan demi penerangan meluncur keluar dari lidah ustaz itu. Satu per satu diperincikan sebaik mungkin olehnya untuk pemahaman semua yang mendengar bicara tazkirahnya. Zohor sudah masuk waktunya dan tiang agama itu didirikan secara berjemaah penuh tertib dan tawaduk.
Setiap butir kata ustaz itu tadi terbawa-bawa dalam fikiran Anuar sehingga ke lewat petang. Masih terngiang-ngiang akan tanda-tanda kematian yang disebutkan oleh ustaz yang jernih mukanya itu. Sedikit hilang rentak moodnya mahu membeli juadah berbuka di bazar Ramadhan yang terletak sepanjang Jalan Raja Alang itu.
“Wei! Aku dah dua tiga plastik makanan aku beli ni. Kau satu benda pun tak beli lagi. Termenung apa kes?”
“Aku nak belilah ni. Kau tunggu dalam kereta dulu kalau kau dah beres. Aku nak beli ayam percik bakar dekat gerai hujung sana kejap.”
Agak sesak bazar Ramadhan pada waktu puncak sebegitu. Mujurlah lelaki itu kecil susuk tubuhnya, mudah saja bagi Anuar menyusup ke sana ke mari. Ayam percik bakar yang diidamkan sudah dibelinya. Aroma ayam percik di gerai itu benar-benar menggiurkan siapa jua yang singgah berkunjung.
Dalam kesesakan melawan arus menuju ke tempat dimana Qushairi memarkirkan keretanya, anak mata Anuar menangkap satu kelibat. Tidak jauh saja darinya. Mungkin hanya beberapa depa. Berdetik hati lelaki itu kencang.
“Balqis...”
Perempuan itu tampak sederhana berbaju kurung. Putih warna bajunya tetapi ada corak bunga-bunga kecil berwarna kuning cair. Begitu sekali jelas visual perempuan itu di pandangan mata Anuar. Tangkas Anuar mempercepatkan langkah mahu mendekati kelibat itu namun dalam sekelip mata kelibat itu lesap entah ke mana. Fatamorgana?
“Hah, apa pasal kau ni? Pucat lesi kurang darah je muka tu!”
“Errr... aku... errr...”
“Sejak bila gagap?”
“Aku jumpa Balqis lagilah Qush... kau tolong jangan gelakkan aku boleh?”
“Ya Tuhan! Kau sedar tak apa kau cakap ni? Berapa kali aku mahu sedarkan kau dari mimpi yang tak berkesudahan tu. Sudah dua tahun ok....aku ulang lagi sekali, dua tahun Balqis dah meninggalkan kita. Aku akui dulu pun aku macam kau bersedih sebab tak dapat menerima kematian mengejut satu-satunya sahabat karib perempuan yang pernah kita ada tapi aku belajar terima hakikat. Qada’ dan qadar. Kun fayakun.”
Anuar membatukan diri kerana dia sudah menjangka, pasti itu yang berulang-ulang dicanang oleh sahabatnya itu sepertimana kes tempoh hari. Bukannya lelaki itu menolak takdir tetapi apa yang dirinya saksikan sebentar tadi tiada bersangkut-paut pun dengan perasaan sedih atau seumpamanya. Dia cuma ternampak bayangan Balqis.
Terimbas di fikiran Anuar butir-butir kata ustaz yang menyampaikan tazkirah di surau sebelum Zohor tadi. Meremang dirinya seketika. Lagi setengah jam waktu Maghrib menyusul tiba.
“...seterusnya tanda-tanda 40 hari sebelum hari kematian menjemput kita. Tanda ini akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah Subhana wa taala. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas diri kita. Antaranya ialah Ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Malaikat Maut ini juga akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Sekalipun Malaikat Maut ini wujudnya cuma satu tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.”
Anuar beristighfar berkali-kali. Tepu fikirannya. Bait-bait dari tazkirah yang didengarinya awal petang tadi berulang-ulang berputar di mindanya persis pemain cakera yang rosak. YA ALLAH, AMPUNKAN DOSA-DOSAKU.
“...antaranya ialah Ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Malaikat Maut ini juga akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.”
Bab 3
Firman Allah Taala yang bermaksud, “Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya.” ( Surah Al-A’raf ayat 34 )
“Kau demam ni Nuar, panas sungguh badan kau. Tak payah bangkit sahur lah ye. Kau betul ke boleh berpuasa hari ni?”
“InsyaAllah aku mampu Qush...ni baru hari ketiga kita berpuasa, sayang kalau aku mahu tinggalkan. Bantu aku bangun Qush...”
“Ya Allah, panas betul badan kau ni. Aku risau sangat. Kita ke hospital jumpa doktor Ehsan pagi nanti ye? Sakit-sakit macam kau ni boleh diberi rukhsah dalam berpuasa.”
“Rukhsah? Sesiapa yang berbuka puasa Ramadhan bukan kerana rukhsah (kelonggaran) yang dirukhsahkan oleh Allah, tidak dapat diqadakkan dengan puasa setahun, walaupun ia betul-betul (melakukan) puasa setahun itu. Itu kata nabi sanjungan kita Qush... aku tanya kau, kau sanggup tinggalkan puasa even sehari pun kalau nilai sehari puasa itu tak boleh digantikan dengan puasa satu tahun?”
“Apa kau cakap kau tu betul tapi lihat keadaan kau sekarang. Kau memaksa diri...”
“Sekadar demam Qushairi...apalah sangat? Dah dah bantu aku bangun Qush...”
“Degillah kau ni Nuar...”
Sayu nada Qushairi, mahu marah tidak sampai hati pula. Anuar begitu kuat iltizamnya. Sedaya upaya Qushairi cuba memapah susuk kecil Anuar yang lemah itu namun penyudahnya Anuar kembali merebahkan diri. Kepalanya terasa berat, cuba dilawan makin berpinar-pinar.
“Kau baringlah dulu, aku ke dapur buatkan bubur untuk kita bersahur ok?”
“Bubur ready-made lah tu kan? Koyak plastik, tuang dalam air, kacau dah siap. Hehehe...”
“Kau kan Nuar tengah sakit-sakit tetap nak perli-perli kan. Wei, kali ni istimewa ok. Aku masukkan cendawan butang sekali. Hahahaha...”
Anuar tersenyum tapi cuma sesaat dua, melihatkan sahabatnya itu sudah ke dapur... rambut di kepalanya disentap-sentap menghilangkan rasa bisa yang perit mencengkam. Merintih lelaki itu berdoa di dalam hati agar sakitnya itu tidak diperlihatkan di depan sahabat baiknya. Biarlah dirinya saja menikmati indahnya ujian Allah itu seorang diri.
“Siap dah. Tra la laaa... Kau boleh bangun? Menyandar kejap...”
“Kejap, aku cuba...”
Melihatkan kepayahan Anuar untuk bangkit dari perbaringan, Qushairi menyuruhnya untuk mengiring sedikit ke kanan. Bubur cendawan yang masih hangat dan enak aromanya itu perlahan-lahan Qushairi menyuapkan sesudu demi sesudu ke dalam mulut sahabatnya itu. Anuar runtun hatinya.
Licin semangkuk bubur cendawan itu. Puas hati Qushairi melihat Anuar yang masih terbuka seleranya walaupun sakit. Imsak sudah masuk waktunya. Sesudah bersahur, Qushairi terus mandi dan bersiap menantikan Subuh yang selang waktunya diisi dengan membaca kitabul tafsir Quran.
Berat di kepala Anuar kian menyusut pergi. Tidak mahu memanjakan tubuhnya, digagahkan juga untuk membersihkan diri. Sekejap saja di bilik air, dia keluar dengan wuduk yang sudah sempurna diambilnya. Qushairi menjadi imam dimakmumkan Anuar dibelakangnya. TAKBIR.
“Terima kasih Qush...”
“Untuk apa?”
“Jadi sahabat aku...”
“Beritahu aku sekarang, dah berapa lama kita berkawan?”
“Lebih 20 tahun...sejak kita kecil lagi.”
“Hah, tahu pun. 20 tahun ok...takde maknanya kau nak berterima kasih bagai. Kalau disebabkan aku masakkan kau bubur untuk sahur tadi, kau mahu berterima kasih...kau lagilah banyak tolong aku. Kaulah yang memandu arah perjalanan hidup aku ke jalan yang diredhai Allah, jika tidak kerana kau barangkali sejadah pun aku anggap seperti tikar biasa.”
Qushairi sudah menanggalkan kopiahnya. Niatnya mahu menyambung membaca kitab tafsiran seusai solat Subuh, tertangguh sebentar dek melayan sembang Anuar. Wajah sahabat baiknya itu dipandang. ‘Baik budak ni, tapi sayang...’, hati Qushairi membisik pilu dirinya dipagut sayu.
“Qush... andai kata aku tak sempat...”
“Cukup nuar....cukup. Aku tak mahu dengar...”
Seperti mengetahui bicara selanjutnya, Qushairi hendak tidak hendak segera memintas percakapan sahabatnya itu. Tidak tegar untuk cuping telinganya mendengar kesudahan ayat yang kelak akan menggoyahkan perasaannya.
“Kau mahu dengar satu cerita Qush? Kisah sahabat nabi junjungan kita, Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhu. Ketika itu, Abdullah sedang duduk-duduk bersama Rasulullah Sallahu alaihi wasallam dan dalam masa itu datang seorang lelaki dari kalangan Ansar. Lelaki itu mengucapkan salam kepada Rasulullah Sallahu alaihi wasallam, lalu diajukan sebuah pertanyaan, ‘Ya Rasulullah, mukmin manakah yang paling utama?’ Baginda menjawab, ‘Yang paling baik akhlaknya di antara mereka.’ Lelaki itu menyoal lagi, ‘Mukmin manakah pula yang paling cerdas akalnya?’. Kau nak tahu apa jawapan Rasulullah? Baginda menjawab, ‘Orang yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persiapannya untuk kehidupan setelah mati. Mereka itulah orang-orang yang cerdas akalnya. (HR. Ibnu Majah).”
Qushairi senyap. Mengangguk tidak, apatah lagi menggeleng. Fikiran lelaki itu mengimbas kembali peristiwa seminggu sebelum masuknya bulan barakah, Ramadhan. Di hujung-hujung Syaaban.
“Kau dah beritahu ibu ayah dia di kampung akan perkara ini?”
“Dia mahu rahsiakan...aku tak boleh berbuat apa-apa. Itu tanggungjawab aku sebagai seorang doktor yang memegang amanah.”
“Sampai bila? Bagaimana tanggungjawab kau sebagai seorang insan? Bonda Yatimah dan Pak Din dah macam ibu ayah kita sendiri Ehsan. Kau sanggup biarkan kedua-dua orang tua tu meratap kemudian hari nanti?”
“Aku...aku... I’m in the middle, Qush...”
“Mujur perkara ni sudah sampai ke pengetahuan aku. Jika tidak, sampai bila-bilalah aku tak tahu. Takpelah, ibu ayah sahabat kita tu... biar aku yang uruskan.”
“One more thing, Qush...”
Suasana sedikit beremosi. Doktor Ehsan terasa berat lidahnya untuk menutur kebenaran. Bergenang air mata doktor lelaki itu.
“He has only thirty days to live...”
“Lepas Balqis, Anuar pula? Ya Allah! Aku tak yakin aku boleh menerima semua ni Ehsan. Doktor apa kau ni? YOU DO NOTHING!”
“Siapa aku Qushairi? SIAPA AKU? Siapa aku untuk menghalang sel-sel barah tu dari terus merebak dalam tubuh kawan kita tu?
“Qush...ooo Qush...kau ok ke tidak ni?” Anuar menggegarkan tubuh Qushairi yang dilihatnya duduk terpaku di hamparan sejadah.
Qushairi baru tersedar. Tubuh kecil Anuar dirangkulnya erat. Ada air mata mengalir dari tubir kelopak matanya. Anuar terkasima.
“KAU JANGAN TINGGALKAN AKU NUAR...KAU JANGAN TINGGALKAN KAMI SEMUA...”
Bab 4
Rasulullah Sallahu alaihi wasallam bersabda, “Dua orang lelaki yang saling berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah. Mereka bertemu dan berpisah hanya kerana Allah.”
Bahkan Rasulullah Sallahu alaihi wasallam menjadikan sahabat yang soleh sebagai hadiah pemberian dan tanda yang menunjukkan Allah kasih kepada seseorang hamba. Sabda Rasulullah Sallahu alaihi wasallam, “Jika Allah mengasihi seseorang hamba, maka Dia akan berikan kepadanya seorang saudara atau sahabat yang soleh. Jika dia sudah mengingati Allah (tidak lalai), sahabatnya akan membantunya (dalam ketaatan kepada Allah) dan jika dia terlalai, sahabatnya itu akan mengingatkannya.”
“Qush, aku rasa nak balik kampung lah hujung minggu ni.”
“Bagus sangatlah tu. Aku pun belum merasa berpuasa di kampung. Tahun lepas kita di luar negara. Tahun ni paling tidak sehari dua boleh berbuka di kampung. Aku teringin pulak memancing di sungai belakang rumah kau tu, nanti boleh minta bonda masakkan ikan tangkapan tu ikut cara kampung...oh heaven lah! Tambah dengan ulam-ulam, main petik je kat kebun sayur Pak Din...fresh ok!”
“Amboi, kampung aku dia pulak yang lebih-lebih berangan itu ini. Hehehe.”
“Aku dah lama takde ibu ayah Nuar...dengan bonda dan Pak Din lah aku menumpang kasih.”
“Aku saja usik-usik. Hehehe. Tapi kan peliklah...kau panggil ibu aku bonda tapi kenapa kau tak panggil ayah aku, ayah? Panggil Pak Din pulak...”
“Aku pun tak tahu. Hahahaha. Mungkin dah terbiasa kot. Lagipun bonda kau panggil diri dia as bonda dengan aku tapi ayah kau bahasakan diri dia Pak Din...nak tak nak, aku pun terikutlah panggil Pak Din je.”
“Tapi sebelum tu, aku mahu belikan mereka berdua sesuatulah. Teman aku pergi Jalan Tunku Abdul Rahman petang ni, lepas balik kerja.”
“Boleh je. Kau nak belikan jubah untuk bonda ke, takpun tudung?”
“Bonda aku tu, tak usah cakaplah jubah dia...berderet dalam almari tu ok. Aku nak hadiahkan untuk dia lain dari yang lain kali ni.”
Mengambil peluang waktu pulang awal sempena bulan Ramadhan, sekitar detik lima petang dua sahabat itu sudah pun berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Deretan kanopi putih yang siap terpasang kiri kanan sepanjang jalan itu, sama senarionya seperti tahun-tahun sebelum. Bahkan kalau diikutkan, kemeriahan suasana bazar sudah dapat dirasai pada dua tiga hari sebelum Ramadhan lagi. Sana sini kanopi dinaikkan.
“Macam-macam jenis biskut ada jual kat sini, Qush. Rambang mata dibuatnya...”
“Kau ni bercakap macamlah tak pernah pergi area Chow Kit ni. Biskut jual kat sini nampak je sedap-sedap murah-murah. Bila beli, rasa di tekak semuanya sama...harapkan design je meletup-letup. Hampeh!”
“Hahahaha...ada-ada saja kau ni Qush. Eh, jom masuk pasaraya Uda Ocean kejap.”
Qushairi sudah meluru terlebih dulu masuk ke dalam pasaraya itu. Dia pula yang terlebih rasa terujanya untuk membeli-belah. Anuar tersenyum melihat gelagat sahabatnya itu. Qushairi ke bahagian baju melayu yang sudah terjual di bahagian lelaki. Sempat dicubanya sehelai dua.
Sementara itu langkah Anuar terhenti bilamana melihatkan seorang lelaki dan perempuan tua, barangkali pasangan suami isteri yang buta kedua-dua belah matanya. Seorang kanak-kanak kecil perempuan yang celik matanya, dalam lingkungan usia 10 tahun bersimpuh di tengah-tengah kedua-dua orang tua itu.
Mereka sekeluarga duduk di laluan pejalan kaki dan menghiburkan khalayak yang lalu-lalang di hadapan mereka dengan menyanyikan lagu-lagu berunsur keagamaan. Si ibu dan ayah bermain alat muzik manakala si anak melontarkan suara seadanya. Anuar tersentuh. Mudah benar sayu melekat di hatinya.
Wahai Tuhan limpahkan hidayahMu
Untuk ayah dan ibuku
Wahai Tuhanku
Berkati daku
Berkati ibu ayahku
Sayangilah mereka sepertimana
Mereka menyayangiku
Dan mengasihiku waktu kecilku
Tak terbalas budi jasanya
“Assalammualaikum dik. Sedap suara adik. Adik nyanyi lagu apa tu?”
“Waalaikumusalam bang. Terima kasih bang...lagu tadi tu tajuk dia Anak Soleh. Adik pun nak jadi macam dalam lagu tu sebab tu adik suka nyanyi lagu tu.”
“Bagus...bagus...ini ibu ayah adik?”
Budak kecil itu mengangguk dan tersenyum bangga memperkenalkan kedua-dua orang tuanya yang buta itu kepada Anuar. Anuar bersalam-salaman dengan pakcik dan makcik tua itu, walaupun buta tetapi deria pendengaran mereka baik.
“Adik puasa hari ni?”
“Mestilah puasa bang. Kalau tak puasa, adik tak bolehlah jadi anak yang soleh.”
“Bagus betul adik abang ni...tapi seharian menyanyi adik tak letih? Adik kan puasa?”
“Dah biasalah bang. Alah, adik bukan puasa di bulan Ramadhan je bang. Bulan-bulan lain pun adik puasa juga. Ayah adik selalu bercerita pada adik tentang kisah puasa ni. Abang mahu dengar?”
“Boleh juga...” Anuar tersenyum seronok melayan kepetahan budak kecil di depannya itu.
“Pernah suatu pagi Nabi Muhammad balik ke rumah dan waktu tu perut nabi lapar sangat-sangat. Tapi bila Nabi ke dapur, takde apa-apa pun boleh dimakan sebab isteri nabi tak pergi pasar lagi. Lepas tu Nabi pun tanya, ‘Belum ada sarapan ya *Umairah?’ Kesian isteri nabi sebab dia takut nabi marah, isteri nabi pun lembut-lembut jawab balik, ‘Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Dengar camtu, nabi terus dengan lapang hati dan cakap, ‘Jika begitu aku puasa saja hari ini.’ Baik kan Nabi bang? Dia tak marah pun padahal waktu tu dia lapar sangat-sangat.”
“Subhanallah, bijak sungguh adik abang ni...”
Anuar mengusap rambut kanak-kanak perempuan itu penuh kasih sayang. Kebetulan Qushairi yang menyedari ketiadaan Anuar di dalam pasaraya itu, mencari sahabatnya hinggalah ketemu Anuar yang sedang mencangkung mengadap sekumpulan pemuzik buta.
“Lah, kat sini kau rupanya! Kau buat apa?”
“Aku dengar adik kecil ni nyanyi. Sedap suara dia, bijak pulak tu. Adik salam dengan uncle Qush...”
“Taraf ‘uncle’ kau kasi aku...chait!”
Anuar mengeluarkan dompet dari kocek seluarnya, dikeluarkan dua helai not RM50 dan diberinya kepada adik kecil itu. Namun, dengan baik kanak-kanak perempuan itu menolak lembut.
“Maaf bang, adik tak boleh terima duit abang. Banyak sangat ni. Lagipun Nabi Muhammad kan ada cakap, ‘Tangan yang di atas (orang yang memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).’ Adik tak mahu jadi tangan yang di bawah bang...”
“Ya Allah, kau lihat Qush adik kecil ni. Bijak bukan kemain kan?”
Qushairi buntang matanya tidak menduga mendengar ayat-ayat seumpama itu bisa keluar dari mulut seorang kanak-kanak perempuan yang belum tentu bersekolah atau tidak itu. Subhanallah dalam hatinya.
“Ok ok kalau camtu abang belanja adik dengan ibu ayah adik berbuka puasa hari ni. Mahu? Adik nak apa, cakap je...abang belikan ok?”
“Abang ni baik sangatlah...terima kasih bang. Kalau camtu adik nak buah tamar je lah, boleh bang? Tapi nak yang Yusoff Al-Tayyoob punya...hehehe.”
“Boleh...boleh... Kita sembang-sembang ni, lupa pulak abang nak beritahu nama abang. Nama abang Anuar...adik panggil bang Nuar pun ok je. Nama adik siapa?”
“Nama adik Balqis, abang panggil adik Qis pun boleh...”
SUBHANALLAH! Baik Anuar mahupun Qushairi terpinga memandang antara satu sama lain.
(*Kamus Istilah: Umairah adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')
Bab 5
Allah Subhana wa taala menjelaskan sifat Malaikat dalam firmanNya yang bermaksud, “Mereka tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim :Ayat 6)
“Kau bawak semua bekalan ubat kau tak?”
“Semua dah aku masukkan dalam pouch bag aku ni.”
“Dah call bonda?”
“3G...”
“Amboi!”
Dua sahabat itu sudah memulakan pemanduan ke negeri Johor yang memakan masa hampir lima jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Qushairi sehari sebelum sudah menghantar keretanya ke bengkel untuk diserviskan bagi menempuh perjalanan yang agak jauh ini.
“Qush...semalam aku mimpi Qush.”
“Hurm...”
“Dengarlah ni... Aku mimpi budak perempuan yang kita jumpa kat luar pasaraya hari tu.”
“Hurm...”
“Dari tadi asyik hurm hurm je kau ni, macam tak mahu dengar je...”
“Aduhai, aku kan tengah drive ni. Kau cerita je lah, aku dengar. Takkan nak pandang muka kau pulak. Nanti stereng ke mana, roda ke mana...”
“Hahahaha...ok ok... Aku mimpi budak tu bagi aku semangkuk buah tamar. Budak kecil tu senyum je bila aku jamah buah tamar tu sebiji demi sebiji sampai habis. Aku rasa tamar yang budak tu beri paling manis dalam dunia pernah aku makan tau Qush! Bangkit je dari tidur tepat pukul empat, itu aku kejutkan kau sahur pagi-pagi tu...”
“Aku ni bab-bab agama ni tidaklah arif sangat tapi aku ingat satu sabda Rasulullah Sallahu alaihi wasallam daripada Adiy bin Hatim yang mendengar Rasulullah bersabda, ‘Hindarilah api neraka walaupun dengan memberi sedekah sebelah buah kurma.’ Nabi kita sendiri cakap walau cuma bersedekah separuh buah tamar pun dapat ganjaran, apatah lagi hari tu kau sedekah berkotak-kotak untuk budak perempuan tu sekeluarga. Aku tahu kau ikhlas dan aku percaya mimpi tu sesuatu yang baik untuk kau Nuar...insyaAllah.”
“Amin ya Rabbal Alamin...mudah-mudahan Qush...”
Bertolak sekitar selepas waktu Zohor, kedua-dua sahabat itu selamat tiba di kampung halaman Anuar menghampiri detik tujuh petang. Berbunga bahagia di hati Bonda Yatimah dan Pak Din melihatkan anak kesayangan mereka yang tiada ribut tiada hujan, terpacul di depan pintu rumah. Azan Maghrib berkumandang setengah jam kemudiannya. BISMILAH.
“Bonda bawa apa dalam tupperware besar tu?”
“Koleh-koleh. Bonda mahu sedekah pada jemaah surau. Malam ni ada tazkirah di madrasah selang 4 rakaat terawih, kamu pergi ajak Qushairi sekali...itupun kalau dia tak penatlah memandu jauh tadi.”
“Kami tak pernah tertinggal lagi berterawih ni bonda. Malam ni siapa yang sampaikan tazkirah, bonda?”
“Imam Sulaiman...ayah si Balqis...esok siang-siang kamu ziarah kubur si Balqis tu Nuar...sedekah Yassin untuk dia.”
“InsyaAllah bonda. Bonda jangan risau, Nuar dengan Qushairi tak pernah lupa tentang tu...”
“Ehsan tak balik kampung sekali?”
“Doktor bonda...faham-faham je lah. Lagi-lagi bulan puasa dan musim raya menyusul tiba lepas ni, kemalangan jalan raya pun mencanak-canak naik statistiknya.”
Azan Isyak sayup-sayup bergema dari empat corong pembesar suara yang terletak di setiap penjuru atap madrasah di tengah kampung itu. Anuar, Qushairi, Bonda Yatimah dan Pak Din bersegera ke madrasah sekeluarga.
Hujan turun sedikit lebat, namun cuma seangin lalu dan berhenti kemudiannya. Bertambah nyaman tetamu-tetamu Allah di dalam madrasah itu mendirikan solat Isyak berjemaah. Solat terawih diteruskan sejurusnya namun selepas salam tahiyat akhir pada rakaat keempat, tazkirah diberi laluan.
Lain padang lain belalang. Jawatankuasa madrasah di kampung Anuar memang begitu penjadualannya. Kalau ada slot tazkirah pada malam Ramadhan, akan dibuat sebegitu-bermula dengan solat Isyak, diikuti 4 rakaat solat Terawih, tazkirah sebagai pengisian di antaranya yang mengambil masa 30 minit dan disambung 4 rakaat lagi solat Terawih sebelum ditutup dengan solat Witir 3 rakaat.
“Ketika awal penciptaan manusia Adam Alaihisalam, Allah Subhana wa taala menitahkan kepada malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah Bumi untuk mencipta Adam. Akan tetapi apabila Jibril sampai ke Bumi, Bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana Bumi khuatir Adam akan menjadi maksiat kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Allah memberitahu bahawa ia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar sumpah Bumi. Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail. Jawapan Bumi masih sama lalu Allah memerintahkan malaikat Israfil dan jawapan Bumi masih tidak berganjak. Masing-masing kembali dengan jawapan yang hampa. Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi. Titah Allah, ‘Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun Bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas namaKu.’
Bersemangat Imam Sulaiman menyampaikan teks tazkirahnya kepada seisi madrasah yang ralit mendengar. Tersenyum dia bilamana baru menyedari akan kelibat Anuar, sahabat baik arwah anaknya yang sedang duduk di saf ketiga di barisan tengah dalam madrasah itu. Ternyata pada malam itu, madrasah kecil itu dua kali ganda biasanya dek padat dengan orang ramai.
“Apabila Izrail turun ke Bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada Bumi, maka akhirnya Bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah ia ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman: ‘Ya Izrail, pertama engkau yang Ku tugaskan mengambil tanah dan kemudian di belakang hari kelak akan Ku tugaskan engkau mencabut roh manusia.’ Maka khuatirlah Izrail kerana bimbang akan dibenci oleh umat manusia. Lalu Allah berfirman lagi, ‘Tidak, mereka (manusia) tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya terbunuh, terbakar, sakit dan sebagainya.”
Mengangguk-angguk seisi tetamu Allah di dalam madrasah itu mendengar tazkirah ringkas Imam Sulaiman. Usai tazkirah, mereka menyambung kembali dengan Terawih dan menamatkan malam itu dengan Witir. Ada jamuan moreh kemudiannya.
“Bila sampai Nuar?”
“Petang tadi Imam... Imam sihat?”
“Alhamdulilah, sihat walafiat. Mana kawan-kawan kamu yang lain Nuar? Tak ajak makan sekali?”
“Qushairi balik dulu Imam...dia sakit perut. Tadi berbuka di rumah banyak sangat dia makan. Hahahaha.”
“Habis yang lain-lain takkan sakit perut juga?”
“Maksud Imam?”
“Yelah, kawan-kawan kamu yang lain. Tadi waktu saya sampaikan tazkirah, ada terperasan kamu dengan kawan-kawan di saf tengah. Ramai kawan-kawan kamu bawa. Dari Kuala Lumpur ke mereka semua? Tampan-tampan semuanya macam kamu.”
“Hah... Imam cakap apa ni, Imam? Qushairi seorang je lah yang ikut saya balik kampung ni. Ehsan pulak asyik sibuk memanjang...”
Imam Sulaiman mengerutkan dahi namun tidak lama, sebentar cuma. Lelaki tua yang warak keperibadiannya itu mengukirkan senyuman kepada Anuar. Tidak lama kemudian, Imam Sulaiman masuk ke dalam madrasah untuk bertadarus Al-Quran pula. Anuar sudah pulang ke rumah bersama bondanya. Tinggal cuma Pak Din yang turut menyertai kumpulan bertadarus itu.
“Haji Din...anak kau balik kampung dengan kawan-kawan dia dari KL ye?”
“Qushairi tu seorang je lah, mana ada kawan dia yang lain lagi. Tapi kenapa Imam? Berkerut muka Imam ni kenapa?”
“Tak ada apa-apa lah...aku bertanya je. Mari kita teruskan bacaan...”
Sesi tadarus Al-Quran memang lewat habisnya, sekitar jam 11.30 malam barulah selesai. Semua orang sudah pun pulang ke rumah masing-masing. Imam Sulaiman orang terakhir keluar dari madrasah itu kerana dia lah yang memegang kunci pintu madrasah untuk ditutup. Hajah Rogayah menyambut kepulangan suaminya, Imam Sulaiman di rumah.
“Ramai orang berterawih dengan bertadarus malam ni bang?”
“Alhamdulilah ibunya. Tadarus tadi adalah sampai dua puluh orang...cepatlah khatamnya nanti...”
“Syukur ke hadrat Allah... Oh ye dalam tudung saji ada kuih koleh-koleh, si Nuar hantar pukul sepuluh lebih tadi. Abang mahu, ambil ye...”
“Sebut tentang budak Anuar ni ibunya... saya rasa ada yang istimewa tentang budak ni.”
“Istimewa? Kenapa pula abangnya?”
“Tadi ketika saya sampaikan tazkirah, ada sekumpulan lelaki duduk sebelah-menyebelahi dia. Tampan-tampan kesemuanya. Jernih-jernih raut wajah masing-masing. Berjubah putih dan bercahaya senyuman mereka.”
Sebuah hadis Nabi Sallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas Radi Allahu anhu, bahawa Rasulullah Sallahu alaihi wasallam bersabda yang maksudnya, “Bahawa Malaikat Maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail, Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh Malaikat Maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran Malaikat Maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi Sallahu alaihi wasallam yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan Malaikat Maut.
Bab 6
Firman Allah yang bermaksud, ”Dan sesungguhnya terdapat malaikat penjaga pada setiap manusia. Mereka yang mulia dan menulis setiap perbuatan dan perkataan manusia. Mereka mengetahui apa yang manusia lakukan.” (Al-Infitar: 10-12).
“Ada ke ikan yang makan pancing umpan kau tu, Qush? Dari tadi aku tengok tak berkocak pun air sungai ni. Hehehehe...”
“Kau Nuar, kalau bab nak mengenakan aku memang kau suka kan? Chait!”
“Hahahaha...dulu kau ingat tak kita empat sekawan suka memancing kat sini. Kau lah yang selalu pancing dapat selipar buruk kan Qush... Hahahaha.”
“Wah wah wah...besar gelak kau hari ni. Awas lo! Tapi semuanya dah tak sama sekarang, cuba kau tengok sungai ni...dah tak sejernih waktu kita kecil-kecil dulu.”
“Hurmmm...betul kau cakap, keadaan dah tak sama sekarang. Dulu aku ada kau, Qushairi Md. Nor si pemancing selipar, aku ada Ehsan dan aku ada Balqis. Sekarang tinggal kita berdua je. Ehsan semenjak bergelar doktor, aku faham dia sibuk...Balqis pula... Tinggal kau seorang. Qush kau jangan lupakan aku tau...”
“Dah dah kau jangan sayu-sayu. Kau kena ingat dalam Surah al-Zukhruf, ayat 67 ada menyebut, ‘Teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang bertakwa.’ Aku berjanji dengan diri aku untuk sentiasa menjadi sahabat kau dunia dan akhirat, Nuar.”
“Terima kasih Qush...”
Sekembali mereka berdua ke rumah sekitar detik empat petang tanpa sebarang hasil tangkapan di tangan. Puas Anuar ketawa melihatkan Qushairi yang macam tidak puas hati pula lagaknya. Masakan tidak, sungai di belakang rumah kampung itu sudah agak kotor airnya, mana mungkin ada ikan yang bernyawa.
Qushairi mengajak Anuar keluar ke pekan sekejap bagi membeli pemanis mulut untuk menambah juadah berbuka nanti. Bonda Yatimah pula sedang memasak di dapur, dibantu Pak Din yang rajin mengupas bawang, memotong cili.
“Ada orang ucap salam kat luar tu bang...takkan si Nuar dah balik. Kan katanya mahu ke bazar di pekan?”
Pak Din mencuci tangannya dan bersegera ke luar, meninjau siapa di luar rumah. Suara Imam Sulaiman rupanya. Lelaki warak dan tenang wajahnya bila dipandang itu datang bersama-sama isterinya, Hajah Rogayah. Tetamu dibawa masuk ke dalam rumah.
“Amboi laki bini kalau memasak di dapur sampai kami mengucap salam tak dengar-dengar ye Timah?”
“Maaf ye Hajah...sambil memasak, kami leka berborak. Itu yang tak dengar salam Hajah dengan Imam.”
Menyeringai bonda Yatimah mengakui kesilapan diri. Ibu kepada Anuar itu mempelawa kedua-dua tamu yang hadir duduk di kerusi meja makan. Mahu dijamu dengan hidangan, bulan puasa pula. Melayan sembang sajalah jawabnya.
“Sebenarnya kami datang ni bertujuan Yatimah... Hurm, Anuar ada di rumah?”
Hajah Rogayah sudah memulakan bicara. Bonda Yatimah duduk sebentar, tertangguh sebentar aktiviti memasaknya. Imam Sulaiman dan Pak Din senyap menunggu butiran selanjutnya.
“Anuar ke pekan beli kuih-muih dengan Qushairi, kenapa Hajah?”
“Tentang anak kamu...”
“Kenapa dengan Anuar? Dia ada kacau anak dara orang ke kat surau malam tadi?”
“Hish, ke situ pulak kamu ni Yatimah. Anak bujang kamu tu bukan dia yang kacau anak dara orang tapi anak dara kampung ni yang suka kacau dia. Hehehehe...”
“Anak bujang saya tu pemalu sikit orangnya, Hajah. Hehehehe...”
Ada senggang waktu di antara bunga bicara dengan pokok bicara yang mahu disampaikan Hajah Rogayah, penyudahnya Imam Sulaiman menyambung cerita.
“Begini Haji Din, Yatimah... Aku mahu bertanya, anak kau ada apa-apa sakit ke?”
“Sakit? Sakit apa Imam? Saya tengok dia sihat-walafiat je, kalau si Nuar tu sakit sudah tentu dia mengadu pada kami. Lagi-lagi dia anak tunggal, manjanya terlebih. Kenapa Imam tanya macam tu?”
“Barangkali pada pandangan mata kasar kita, tidak dinafikan budak Nuar tu sihat, cergas dan tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Tapi...mmm...susah pula aku nak berterus-terang. Ibunya, sambungkanlah...”
“Pulak dah abangnya, main pass-pass pula. Yatimah, kamu tahu bukan antara Anuar dengan Balqis tu memang tak boleh dipisahkan sejak kecil. Ke mana-mana mereka, berdua je ditemani si Qushairi tu. Tahun lepas je mereka berenggang bila si Nuar ada di Itali kan? Kita pun hampir berbesan tapi ketentuan Allah Taala tiada siapa boleh mengubahnya bukan?”
“Hajah berterus-teranglah...lagi Hajah berbunga bertambah risau dah saya ni.”
“Baiklah...baiklah. Saya tak pernah bercerita pada sesiapa tentang perkara ni, selain daripada suami saya bang Imam ni...tidak saya buka cerita ni pada orang lain. Kamu tahu Yatimah...ada peristiwa yang berlaku di sebalik perginya anak saya, Balqis pada malam Ramadhan arwah pergi menemui Allah.”
“Peristiwa apa Hajah?”
"Kuasa Allah Yatimah...dibukakan hijab pandangan mata saya untuk melihat pemergian Balqis depan mata saya sendiri di bulan Ramadhan. Bergementar seluruh anggota saya pada malam tu. Benarlah firman Allah Subhana wa taala dalam Surah Fushilat ayat 53, ‘Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa Al-Qur'an itu benar.”
“Apa yang Hajah nampak? Aduh, hati saya tak tenteram dah ni Hajah...”
“Biar saya cerita dari awal ye Timah, tidak kamu terpana nanti. Pada malam Balqis meninggal...Ramadhan tahun lepas, saya dengan arwah kan berterawih dan bertadarus di surau hingga lewat malam. Kebetulan, malam-malam terakhir Ramadhan kaum muslimah takde lah ramai sangat yang berterawih di surau, masing-masing sibuk membuat biskut raya. Kami anak-beranak berterawih sampai 20 rakaat dan selang 2 rakaat nak habis tu, terbatal pula wuduk saya. Saya turunlah ke bawah nak berwuduk dan bila saya naik atas...terpegun saya melihatkan ramai jemaah perempuan di saf-saf yang kosong. Saya tak berfikir apa-apa ketika itu tapi yang saya masih ingat sampai sekarang, muslimah-muslimah yang bersembahyang tu cantiknya LUAR BIASA. Walaupun bertelekung, tapi jelas saya nampak wajah mereka yang putih merah, alis tebal macam perempuan Arab lah sekali pandang. Bauan mereka usah cakaplah, wangi semerbak dan sangat tenang kepala saya menghidunya.”
“SUBHANALLAH Hajah... Subhanallah...”
“Selesai beri salam, arwah rebah di sejadah. Allah ambil nyawa anak saya betul-betul selepas dia sudah berterawih. Saya berdoa pemergian arwah Balqis dalam keadaan husnul khatimah hendaknya. Amin amin amin... Lagipun sengsara barah yang arwah alami dah terlalu lama, saya redha.”
Bonda Yatimah dan Pak Din yang mendengar beristighfar di dalam hati, takjub dengan kebesaran Allah Taala yang MAHA KUASA zatnya. Sempat bonda Yatimah menutup api gas bilamana cerek air yang dimasaknya tadi berbunyi tanda air sudah masak.
“Malam semalam abangnya Imam bercerita pada saya, Yatimah... Abangnya Imam nampak perkara yang serupa dekat si Anuar. Sepatutnya perkara-perkara macam ni, tidak boleh diceritakan atau bercerita dengan orang lain tapi entahlah Yatimah... saya yang paksa abangnya Imam ke mari untuk beritahu akan hal ini. Saya rasa seperti bertanggungjawab pulak untuk berkongsi cerita ini dengan Yatimah dan Haji Din sekali.”
Pak Din meraup mukanya berkali-kali. Hati ayah mana yang tidak gelisah bila memikirkan barangkali akan berlaku sesuatu yang tidak diduga ke atas anak tunggalnya itu. Lebih-lebih lagi berita yang diterima bukan dari sembarangan orang, keluar dari mulut Imam Sulaiman dan Hajah Rogayah. Pak Din bersuara, memuntahkan kebimbangan.
“Apa yang Imam nampak malam semalam, Imam? Beritahulah kami...”
“Begini Haji Din... aku pun serba-salah mahu beritahu tapi bila disuruh berkali-kali si ibunya Hajah, aku sampaikanlah. Malam semalam aku nampak macam apa yang ibunya Hajah ceritakan pada kamu berdua tadi tentang arwah anak kami. Demi Allah aku lihat dengan mata kepala aku sendiri, ada sekumpulan jemaah lelaki berjubah putih kesemuanya, kacak-kacak senyuman mereka, bercahaya-cahaya pandangan mata mereka...betul-betul duduk sebaris saf dengan si Anuar di belah kiri dan kanan budak tu. Awalnya aku tidaklah fikir apa-apa tapi bilamana aku menyedari, mana mungkin ada lelaki yang sebegini INDAH raut wajahnya...sedikit sebanyak terusik tangkai hati aku dengan rasa tanda tanya. Wallahualam Haji Din, hanya Allah Maha Mengetahui...aku sekadar menyampaikan apa yang Allah izinkan aku melihat menerusi pancaindera aku yang cukup terbatas sifatnya.”
Hajah Rogayah menambah...
“Saya rasa ada baiknya kamu Yatimah, ambil tahu dan selidik mana perlu tentang anak bujang kamu tu...manalah tahu dia ada sembunyikan penyakit ke atau apa-apa sajalah dari pengetahuan kamu berdua. Naluri ibu kita ni sama kan Yatimah... saya takut kamu akan kehilangan Anuar tanpa kamu mengetahui puncanya. Cukuplah dulu arwah Balqis menyimpan rahsianya, bertudung di rumah sepanjang masa semata-mata mahu menyembunyikan sakit yang dialami. Saya tidaklah kata Anuar tu ada sakit seperti arwah tapi naluri ibu Yatimah...apatah lagi saya sudah merasainya.”
“Allahu akbar... Allahu akbar... Fahamlah saya kenapa malam semalam Imam bertanya tentang Anuar dan kawan-kawan dia pada saya...”
Pak Din memandang isteri kesayangannya di sebelah, Bonda Yatimah mencapai tangan tua suaminya digenggam erat-erat. Kelu lidah mereka berdua, mahu bersuara tidak tahu apa yang perlu disuarakan. Hati mereka BERTASBIH, BERTAHMID, BERTAKBIR!
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Shuhaib Radi Allahu anhu berkata, Rasulullah Sallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud, "Apabila ahli syurga masuk ke syurga dan ahli neraka telah masuk ke neraka, maka ada seruan. 'Hai ahli syurga, Allah akan menepati janjiNya kepada kamu.' Mereka berkata, 'Apakah itu, tidakkah telah memberatkan timbangan amal kami dan memutihkan wajah kami dan memasukkan kami ke dalam syurga dan menghindarkan kami dari neraka.' Maka Allah membukakan bagi mereka hijab sehingga mereka dapat melihatNya, demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya belum pernah mereka diberi sesuatu yang lebih senang daripada melihat kepada zat Allah.”
Bab 7
Firman Allah Subhana wa taala yang bermaksud, ”Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Surah At- Taubah ayat 18)
“Lawanya telekung ni Nuar... mengerlip-ngerlip kainnya. Dari jauh orang kampung dah boleh kenal bonda ni...hehehehe. Beli di mana?”
“Hehehehe...beli di Jalan TAR bonda. Boleh lupa pulak Nuar nak beri pada bonda sejurus sampai hari tu...malam ni dah nak balik KL baru teringat. Malam ni terawih, bonda pakai tau. Yang dua helai lagi tu, bonda pakai gilir-gilir...jangan disimpan pulak. Barulah vogue bonda Nuar berkilat-kilat pergi terawih nanti.”
“Hehehehe...kamu ni ada-ada je. Bonda dah tua pun, takde maknanya nak vogue-vogue bagai. Kamu ni Nuar, buat bonda tersengih tau menyebut perkataan vogue tu, lucu pun ada. Dalam bersolat ni Nuar, ada etika pemakaiannya tersendiri. Aisyah Radi Allahu anhu ada berkata, Nabi Sallahu alaihi wasallam pernah bersolat dan memakai pakaian yang berjalur empat segi. Dalam solatnya baginda melihat pada jalur itu. Apabila selesai sahaja solatnya baginda berkata kepada Aisyah, ‘Bawa pergilah pakaian ini kepada Abi Jaham bin Huzaifah dan bawalah kepada aku pakaian yang tidak berjalur kerana sesungguhnya kain itu melalaikan aku daripada solatku."
“Terima kasih bonda atas ingatan itu...sebab bondalah, Nuar selalu ingat kisah-kisah para anbia’ sebegini...”
Tubuh Bonda Yatimah erat dipeluk Nuar, lama dakapannya. Pipi wanita tua itu diciumnya kiri dan kanan, dahi Bonda Yatimah dikucup lama. Lembut diramas jari-jari halus perempuan yang telah mengandungkannya selama sembilan bulan itu. Terbit rasa sayu di hati Bonda Yatimah tidak semena-mena.
“Anuar Arasy sayang bonda tak?”
“Soalan apa ni bonda? Mestilah Nuar sayang bonda sangat-sangat... Bonda ‘malaikat’ dalam hidup Nuar.”
“Nuar tahu bukan memenuhi permintaan seorang ibu itu lebih tinggi darjatnya dari berjihad di medan perang? Diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata, ‘Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad Sallahu alaihi wasallam, ‘Apakah perbuatan disukai oleh Allah?’ Lalu Baginda bersabda, ‘Sembahyang pada waktunya.’ ‘Kemudian apa?’ tanya Ibnu Umar lagi. Baginda menjawab, ‘Berbakti kepada kedua ibu bapa.’ Ibnu Umar bertanya, ‘Apa lagi?’ Jawab Baginda, ‘Berjihad pada jalan Allah.”
“Bonda mahukan apa, insyaAllah Nuar akan cuba penuhi permintaan bonda.”
“Bonda cuma mahu Nuar berterus-terang dengan bonda...nuar ada tak sorokkan apa-apa daripada bonda dan ayah?”
“Sorokkan? Apa benda yang Nuar nak sorokkan dari bonda dengan ayah? Nuar tak pernah berahsia apa-apa pun.”
“Nuar ada sakit?”
“Ya Allah bonda ni, soalan apa-apa sajalah bonda tanya ni. Nuar takkan sakit kalau malaikat penyembuh Nuar ada di sisi Nuar ni. Love you so much, Bonda!”
Terdiam Bonda Yatimah, mati akalnya bilamana sudah itu jawapan anak kesayangannya. Sekali lagi tubuh tua Bonda Yatimah dipeluk erat-erat anak bujangnya. Sekali lagi itu jualah timbul rasa sayu yang makin menyucuk hati wanita tua itu.
Malam itu adalah malam terakhir Anuar dan Qushairi di Johor, esoknya mereka berdua akan kembali ke Kuala Lumpur. Cuti yang diambil selama tiga hari itu sudah diisi dengan seribu satu kenangan indah di kampung tercinta.
“Malam ni sempat lagi kita berterawih Qush. Kita bertolak ke KL tengah malam sikit boleh? Aku mahu bertadarus di madrasah...rasa sayang pulak kalau ditinggalkan. Lagipun kalau kita bertolak lewat malam sikit, esok awal pagi sampai KL kita terus boleh bersahur.”
“Kau Nuar kalau merancang, ikut kepala dia je. Yang drivenya aku...kau jadi penumpang je.”
“Hahahaha...kau lepas berterawih dalam pukul sepuluh malam tu, tidurlah dulu. Aku habis tadarus selalu sekitar jam dua belas, barulah segar mata kau memandu nanti. Lagipun kau kena sentiasa berhati-hati ketika memandu, kau kan bawa anak teruna orang ni. Hahahaha...”
“Chait! Kau seorang je lah teruna ye, aku tidak? Yalah-yalah...aku ikut je. Nanti kau kejutkan aku bila habis bertadarus nanti. Dah dah cepat tukar baju melayu, kejap lagi dah azan Isyak. Bonda dengan Pak Din awal-awal lagi dah siap, tapi anak dia punyalah lambat bersiap...macam anak dara! Hahahaha!”
Selesai solat terawih dan witir, Qushairi sudah turun dari madrasah dan pulang ke rumah untuk melelapkan mata. Lelaki itu perlu tidur untuk sejam dua bagi menghilangkan rasa mengantuk lebih-lebih lagi mahu memandu malam.
Tinggal Pak Din, Anuar, Imam Sulaiman dan empat lagi penduduk kampung yang mengisi malam penuh barakah itu dengan aktiviti tadarus Al-Quran. Menyusut pula bilangan jemaah bertadarus pada malam itu. Namun tadarus tetap diteruskan walau cuma mereka bertujuh. Lima belas minit sudah melebihi detik dua belas malam. SADAQALLAH UL AZIM.
“Saudara penduduk tetap kampung ni? Siapa nama?”
“Saya Anuar...Anuar Arasy. Saya dilahirkan di kampung ni...saudara orang mana?”
“Saya bermusafir, singgah sebentar beberapa malam memakmurkan madrasah kampung ni.”
“Ooo...maaflah ye saudara jika malam ni kurang pula bilangan orang yang bertadarus, selalunya sampai melebihi dua puluh orang. Barangkali ramai yang bertadarus di rumah malam ni. Malu pula saya pada saudara sebab saudara orang luar pun sanggup datang bertadarus sampai lewat malam sebegini. Seperti yang saya katakan tadi, mungkin sebahagian besar penduduk di sini beribadah di rumah dengan keluarga masing-masing malam ni.”
“Tidak apa, Anuar tak perlu malu atau segan dengan saya. Bertujuh kita bertadarus di bawah madrasah ni pun sudah satu rahmat buat seluruh kampung ini. Tadarus Al-Quran lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini berlipat ganda pahalanya. Diriwayatkan, Rasulullah Sallahu alaihi wasallam bertadarus Al-Quran dengan malaikat Jibril sendiri. Sepertimana yang disebut dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim, ‘Nabi Muhammad Sallahu alaihi wasallam merupakan insan yang sangat pemurah dengan kebajikan, dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan. Jibril Alaihi salam menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah adalah amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang”.
“Begitu besar fadhilat bertadarus ni ye saudara. Saya kalau ada kelapangan gemar membaca tafsiran Al-Quran di belah siang, belah malamnya pula bertadarus. Sebab saya ni tak faham bahasa Arab, bonda saya dulu suruh mengaji bahasa Arab tapi saya degil. Hujungnya saya yang rugi. Hahahaha.”
“InsyaAllah Anuar, andai kuat iltizam Anuar mahu memperbaiki diri sendiri lebih baik dari hari semalam, Allah Taala akan mempermudahkan pembelajaran Anuar. Firman Allah Subhana wa taala dalam surah al-Ahzab ayat 70-71 bermaksud, ‘Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang benar, nesaya Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.”
“InsyaAllah saudara...insyaAllah. Saya rasa seronok sangat bersembang dengan saudara tapi sayang malam esok saya sudah tiada di sini, tak boleh lagi bertadarus di madrasah ni. Kejap lagi saya akan bertolak ke KL. Saudara ada nombor telefon untuk saya hubungi, boleh kita bersembang hal-hal agama secara santai. Saya lebih selesa begitu.”
“Saya pun sangat senang sekali dapat berbual dengan Anuar. Tidak apa, saya akan ada di madrasah ini tiap-tiap malam di bulan Ramadhan. Harap kita ketemu lagi di hujung-hujung Ramadhan, Anuar.”
“InsyaAllah, saya akan kembali ke madrasah ini untuk berjumpa saudara. Saya teruja menantikan hujung-hujung Ramadhan itu.”
Anuar Arasy tersenyum lebar sambil mulutnya menyanyi-nyanyi lagu riang. Langkahnya seperti kanak-kanak yang baru mendapat gula. Kedua-dua belah tangannya dihayun-hayun penuh gembira. Qushari yang sudah terbangun sedari tadi dan sudah pun bersiap-siap meletakkan beg galas di dalam kereta, tergelak melihat tingkah sahabat baiknya itu.
“Kau ni apa pasal? Sampai ke telinga tersenyum-senyum. Ada awek mengorat kau ke kat madrasah tadi?”
“Hish, kau ni Qush biar benar! Bertadarus mana bercampur lelaki perempuan, apalah kau ni!”
“Habis tu, lewat kau balik? Pak Din pun dah balik awal sepuluh minit dari kau, tau!”
“Aku bersembang dengan seorang musafir tadi, dia berterawih dan bertadarus sekali tadi. Peramah lelaki tu, ilmu agama dia mendalam.”
“Ooo...jadi yang kau gembira sangat ni kenapa?”
“Kata lelaki tu, dia akan tunggu aku di hujung-hujung Ramadhan...di madrasah kampung kita. Tak sabar aku menghitung harinya, Qush.”
“Hah? Kau ni pelik-pelik je lah Nuar. Siapa nama lelaki tu?”
“Lupa pula aku bertanya... Hahahaha!”
Sebaik sahaja malaikat lzrail mendapat perintah dari Allah Taala, maka malaikal lzrail pun turun dengan MENYERUPAI orang Arab Badwi. Setelah malaikat lzrail sampai di hadapan rumah Rasulullah Sallahu alaihi wasallam maka ia pun memberi salam,
"Assalaamu alaikum yaa ahia baitin nubuwwati wa ma danir risaalati a adkhulu?" (Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu semua sekalian, wahai penghuni rumah nabi dan sumber risalah, bolehkan saya masuk?)"
Apabila Fatimah Radiya Allahu Anha mendengar orang memberi salam maka ia pun berkata,
"Wahai hamba Allah, Rasulullah sedang sibuk sebab sakitnya yang semakin berat."
Kemudian malaikat lzrail berkata lagi seperti dipermulaannya, dan kali ini seruan malaikat itu telah didengar oleh Rasulullah dan Rasulullah bertanya kepada Fatimah,
"Wahai Fatimah, siapakah di depan pintu itu?"
"Ya Rasulullah, ada seorang Arab Badwi memanggil mu, dan aku telah katakan kepadanya bahawa dirimu sedang sibuk sebab sakit, sebaliknya dia memandang saya dengan tajam sehingga saya merasa menggigil badan saya."
"Wahai Fatimah, tahukah kamu siapakah orang itu?
"Tidak ayah."
“Dia adalah malaikat lzrail, malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta meramaikan kubur."
Fatimah tidak dapat menahan air matanya lagi setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan berakhir, dia menangis sepuas-puasnya.
Bab 8
"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai. Masuklah dalam golongan hamba-hamba Ku, dan masuklah ke dalam syurga Ku" (Surah Al-Fajr: Ayat 27-30)
Sudah lama dirinya tidak menjejakkan kaki ke masjid itu, masjid yang selalu dijadikan tempat persinggahan ketika usianya masih belasan tahun. Hati lelaki itu diserbu rindu dengan kenangan-kenangan lalu. Melangkah masuk ke dalamnya seperti menyelungsuri sebuah terowong masa.
“Ya Allah, aku terlalu rindu...tapi aku tahu, yang berlalu mana mungkin diputarkan waktu...”
Meleleh air matanya. Hanya kepada Allah, hatinya berdesis memohon untuk diredakan rasa rindu yang membuak-buak. Rindu pada kehidupan yang dulunya terasa tersangatlah panjang namun tidak lagi sekarang. Basah perasaannya.
Seorang amil yang sedang duduk menjalankan tugas mengutip bayaran zakat fitrah di sudut masjid, dihampirinya.
“Anak bayar bagi pihak anak-anak dan isteri sekali?”
“Saya belum berkeluarga ustaz, saya bayar bagi pihak diri sendiri.”
“Kadar fitrahnya RM7, anak baca lafaz niat zakat fitrah yang tertulis atas kad ni...”
Selesai sudah tanggungjawab Anuar Arasy menunaikan zakat fitrahnya di bulan Ramadhan. Lapang hatinya. Sempat Anuar bersembang dengan amil yang bertugas, Ustaz Ridhuan namanya.
“Bagus anak muda macam kamu ni membayar zakat awal-awal waktu sebegini.”
“Saya takut terlupa ustaz, tuntutan wajib macam ni tak boleh dilengah-lengahkan.”
“Betul tu nak... Ibn Abbas Radi Allahu anhu ada berkata di dalam Riwayat Abu Daud, ‘Rasulullah Sallahu alaihi wasallam telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang maqbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain.”
“Syukur saya sudah tunaikan tanggungjawab saya...baiklah ustaz, insyaAllah andai umur panjang bersua kita lagi ye ustaz. Selamat berpuasa ustaz, assalammualaikum.”
Berpisah mereka di situ, sempat lagi Anuar menoleh memandang masjid itu untuk sekalian kalinya. Bagai tidak puas ditatapnya setelah lebih sejam dia merasa nikmat beribadah di dalamnya.
“Kad raya ni berapa dik?”
“Satu bungkus tu ada sepuluh keping kad, RM 9.90 je bang.”
“Saya beli sebungkus yang ni...mmm, satu lagi sini ada jual kad raya muzik tak?”
“Ada-ada...belah belakang rak ni bang. Abang pilihlah mana-mana yang berkenan.”
Sebaik saja pulang dari masjid, sempat Anuar menyinggah di pasaraya yang letaknya berdekatan saja dengan masjid yang dikunjunginya tadi. Entah kenapa tiba-tiba hatinya tergerak untuk membeli berkeping-keping kad raya pada tahun ini.
Terkenang kembali Anuar pada sebuah kad raya dimana kulit depannya tertera cahaya pelita, lampu panjut. Pemberian terakhir Balqis pada Ramadhan tahun lepas.
“Nuar bila nak balik? Tak puaslah bersembang di ym...tak real tau! Ni bual dalam telefon pun sekejap je Nuar call.”
“InsyaAllah, dalam minggu pertama Syawal nanti sampailah Nuar di Malaysia. Tak best tau sambut Ramadhan di negara orang ni. Takde feel.”
“Tak boleh awal sikit ke Nuar? Baliklah seminggu lebih awal dari tu, please...”
“Tak bolehlah Qis...lagipun takde beza kan Nuar balik cepat atau lambat, nanti raya kita boleh berjumpa jugak.”
“Qis takut tak sempat jumpa Nuar...Nuar baliklah cepat, Nuar. Qis nak bagi Nuar sesuatu...”
“Bercakap macamlah dia nak pergi jauh. Hahahahaha! Kat kampung tu jugak Qis duduk kan?”
“Kecil hati Qis tau Nuar cakap camtu. Balqis tahulah Nuar kat negara Itali tu tapi janganlah rendah-rendahkan Qis pulak. Oklah Nuar, Qis kasi kat bonda je minta passkan benda yang Qis nak bagi tu kat Nuar bila balik nanti. Assalammualaikum warahamatullah!”
Salam terakhir dari Balqis yang sehingga sekarang terngiang-ngiang nada merajuk gadis itu di pendengaran Anuar. Andai dirinya tahu perbualan itu tiada untuk kali seterusnya, sudah pasti dia tidak tergamak untuk bergurau-senda sebegitu. Gurauan yang tidak disedarinya sudah melukakan hati gadis tersebut.
Pedih hati Anuar mengingatkan kenangan itu semula. Sebutir-butir perkataan di dalam lembaran kad raya lampu panjut itu dihafalnya.
SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN NUAR YANG SOMBONG
“Kecintaan seseorang yang hakiki kepada insan lain kerana Allah bukanlah bermaksud mencintai insan itu kerana sifatnya, sebaliknya adalah kerana insan itu dapat mendekatkan diri sendiri dengan akhirat.”
Rindu budak sombong!
Ikhlas daripada:
Balqis bt. Sulaiman
AL-FATIHAH. Moga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman serta dijauhkan dari azab Allah Subhana wa taala. Itu saja doa Anuar untuk Balqis, andai dikenang-kenang air mata lelakinya nescaya tidak henti-henti terus mengalir.
Sedikit tenang perasaan Anuar dapat mendekatkan diri dengan Allah menerusi ibadah-ibadah sunat di malam hari setelah pada belah siang jiwanya sedikit kacau. Qushairi yang sedari tadi dapat mengesan sifat pendiam Anuar namun tidak diketahui apa puncanya, cuba mendekati sahabatnya itu. Pintu bilik Anuar diketuk perlahan. Anuar yang berkurung di dalam bilik saja selepas balik dari masjid tadi mengunci pintu dari dalam.
“Nuar, kau ok dalam tu?”
Pintu diketuk lagi, tidak seperlahan tadi.
Tiada respon,
“Nuar, kau tidur ke? Kalau tidur apasal lampu tak tutup? Aku boleh nampak dari luar cahaya bilik kau ni.”
Lima belas minit kemudian tiada juga sebarang tindakbalas, Qushairi bergegas mengambil kunci pendua. Hatinya tidak tenteram.
Masuk ke dalam bilik, dilihatnya berkeping-keping kad raya baru berselerakan di atas katil bujang Anuar. Ada tompokan-tompokan merah di lembaran kad-kad tersebut. Ternyata bukan tinta tetapi darah.
Pintu bilik air di dalam bilik Anuar dikuak Qushairi. Menggigil lelaki itu melihat tubuh sahabatnya kaku terbaring di situ. Ketara pucat wajah Anuar, dadanya penuh dengan muntahan darah. Pil-pil ubat bertebaran di lantai, barangkali tidak sempat ditelan. Tiada ombakan pernafasan di dada Anuar. Qushairi memangku kepala sahabatnya, airmata Qushairi sudah lebat mengalir.
“Nuar bangun, Nuar! PLEASE WAKE UP! Masa kau belum sampai lagi!”
Melodi dari kad raya muzik di atas katil berbunyi...
Bab 9
Firman Allah Subhana wa taala yang bermaksud, “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi PENAWAR dan RAHMAT bagi orang yang beriman, dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan (apa-apa) kepada orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian semata-mata. (Surah Al-Israk: Ayat 82)
“Status Anuar sekarang, Ehsan?”
“40:60. He’s now under intensive care unit. Dia koma dan sekarang ni bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan.”
“Aku dah beritahu bonda dan pak Din di kampung...mungkin malam ni sampailah mereka berdua.”
“Kau beritahu mereka whole story?”
“Tak. Aku tak mahu mereka takut, biar mereka selamat sampai ke sini dan kemudian barulah kita beritahu keadaan sebenar Anuar pada mereka.”
“Ok.”
Hanya seorang saja dibenarkan masuk dalam satu-satu masa di bilik rawatan rapi itu. Qushairi tidak lekang bibirnya basah membaca surah Yassin. Di ruang yang sempit itu jugalah Qushairi bersolat taubat membersihkan diri agar doanya yang satu itu dimakbulkan. Di situ jugalah dia bersolat hajat memohon Allah di Arasy sana mendengar rintihannya.
Pilu menyagat hati Qushairi terkenangkan kenangan demi kenangan sepanjang tinggal serumah dengan Anuar, terlalu banyak sahabatnya itu berkongsi ilmu malah untuk berlaku lokek tidak sekali-kali.
Anuar mewah dengan nasihatnya, murah dengan kata-kata yang cukup menyenangkan hatinya malah kadangkala melucukan. Ya Tuhan, kenapa Anuar Arasy yang kau uji? Orang baik seperti dia cuma satu dalam seribu. Kenapa tidak kau uji pada mereka yang terang-terangan mempermain-mainkan agamaMu?
“Qush, kau tahu tak semua penyakit dalam dunia ni boleh disembuhkan tapi bukan tua dan kematian.”
“Habis AIDS tu sampai sekarang tidak ada ubatnya, malah vaksin untuk penyakit itu pun tak ditemui sampai sekarang.”
“Nabi Muhammad Sallahu alaihi wasallam beritahu pada kita semua, “Bagi setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu sesuai untuk sesuatu penyakit, akan sembuh dengan izin Allah.” (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad). AIDS tu bukan penyakit tapi malapetaka yang Allah campakkan pada umatnya yang engkar. Dalam surah Fussilat ayat 44, Allah Taala ada berfirman, ‘Katakanlah bagi mereka yang beriman, Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi mereka yang beriman. Mereka yang tidak beriman, pada telinga mereka ada sumbatan, sedangkan Al-Quran itu sesuatu kegelapan bagi mereka. Mereka ini adalah seperti orang yang dipanggil dari tempat yang jauh.” Dah terang lagi jelas AIDS tu bukan penyakit tapi BALA yang dicari sendiri unless kalau ibu-ibu yang mengidap AIDS sebab durjana suaminya sendiri ataupun bayi dalam kandungan yang terkena AIDS gara-gara celaka ibunya sendiri.”
“Satu lagi aku dengar kes-kes perpindahan darah yang disebabkan kesilapan pihak hospital, boleh pula pesakit itu menerima darah yang ada kuman AIDS...itu kesiankan Nuar.”
‘Ya Allah, Kau dengar sendiri bukan sahabatku Anuar berpegang pada kata-kataMu yang semua penyakit datangnya dariMu itu boleh disembuhkan apatah lagi jika orang itu bertakwa kepadaMu tapi...”
Bermonolog Qushairi di dalam hati namun terberhenti cuma di situ. Tidak terlintas di niat pun untuk mempersoalkan ketentuan Allah namun apalah sangat manusia sepertinya untuk terus kuat berdepan semua ini. Ini masuk kedua kalinya, lelaki itu diuji dengan perkara yang melibatkan nyawa sahabat-sahabat baiknya sendiri.
Qushairi meraup mukanya, air mata di tubir kelopak mata bertitisan. Satu demi satu cebisan kenangan sepanjang persahabatannya dengan Anuar dilayar perakkan di dalam kotak ingatannya. Kehidupan mereka bukan sekadar bertafakur di hamparan sejadah semata-mata dan tidak pernah berhibur seperti kebanyakan anak muda yang lain. Mereka juga manusia biasa.
Qushairi masih ingat lagi ketika mereka dan teman-teman seperjuangan yang lain - Kamal, Zaki, Madhi, Hans dan Shah menghabiskan masa bersama di Hotel Westin di Bukit Bintang dua tiga tahun lepas, malam Ramadhan juga ketika itu. Berbuka puasa dan sempat pula berkaraoke selepas tertunai solat Isyak mereka. Mendengar suara Anuar menyanyi, lunaknya seperti mendengar lelaki itu mengaji.
“Assalammualaikum Qush...bonda dan ayah Anuar dah sampai.”
Pantas Qushairi menyeka airmatanya bilamana doktor Ehsan menguak pintu bilik wad. Anuar masih terbaring layu. Wajah Bonda Yatimah dan Pak Din menjengul di muka pintu. Lemah seluruh anggota tubuh Qushairi melihatkan kesedihan yang terpapar di wajah kedua-dua orang tua itu yang dianggap seperti ibu bapanya sendiri. Tidak sanggup dia melihat sedu-sedan tangisan Bonda Yatimah. Qushairi perlahan-lahan keluar dari bilik wad itu.
Sejam kemudian, Doktor Ehsan, Bonda Yatimah dan Pak Din berkumpul di bilik doktor muda itu. Qushairi pula di bilik wad setia menemani Anuar. Sesak dada Ehsan dengan apa yang bakal diberitahunya kepada kedua-dua orang tua di depannya itu namun sebagai doktor, hendak tidak hendak dia cepat sedar di mana letaknya profesionalisme.
“Nuar sakit apa Ehsan? Kenapa baik Qushairi mahupun Ehsan tak beritahu bonda?”
“Maafkan saya bonda...maafkan saya Pak Din. Anuar sendiri mengamanahkan kepada saya untuk tidak membuka cerita ini kepada orang luar.”
“Tapi kami bukan orang luar, Ehsan. Kami ibu ayah dia. Beritahu bonda sekarang, Nuar sakit apa Ehsan?”
“Harap bonda dengan Pak Din bertahan dengan apa yang akan saya sampaikan ni...”
Pak Din sudah mengenggam kemas tangan isteri kesayangannya. Jantung bonda Yatimah tersangat kencang degupannya. Pak Din memberi signal mata supaya isterinya cuba bertenang dan tidak terlalu cemas dengan perkhabaran yang bakal mereka dengari. Doktor Ehsan cuba menyampaikan dengan bahasa yang paling mudah. Bukan bahasa doktor yang terlalu asing termanya di pendengaran orang kampung seperti mereka.
“Anuar menghidap barah sel darah putih. Sudah peringkat keempat...”
“Peringkat keempat? Pak Din tak faham Ehsan...”
“Peringkat keempat ini satu fasa dimana pesakit dan penyakit yang dialaminya itu sudah tidak boleh diubati walau dengan apa cara sekalipun melainkan dengan memberi ubat-ubatan bagi mengurangkan kesakitan. Anuar pada tahap itu Pak Din.”
“YA ALLAH, Ehsan!!!”
Bonda Yatimah jatuh pengsan. Terjelepuk wanita tua itu di peha suaminya. Cemas suasana di bilik doktor muda itu tiba-tiba. Doktor Ehsan segera bangun dari kerusinya lantas memapah tubuh bonda Yatimah dan membaringkannya di atas sofa. Stetoskop diletakkan di dada bonda Yatimah - lemah denyutan jantungnya. Doktor Ehsan memanggil jururawat untuk menyiapkan satu bilik wad untuk wanita tua itu.
“Pak Din jangan risau ye. Bonda stabil, dia cuma terkejut. Kami dah periksa keadaan bonda, baik semuanya. Dalam sejam dua ni, kita biarkan bonda berehat di bilik wad yang sudah saya sediakan.”
“Terima kasih, Ehsan. Sementara bonda kamu tiada ni, ada baiknya Ehsan beritahu pakcik tentang Nuar. Pakcik mahu tahu keseluruhan cerita. Takut bila didengar bonda kamu nanti, tidak tegar pula dia menerima kenyataannya.”
Begitu tenang Pak Din dalam keadaan genting sebegini. Namun hanya Allah Maha Mengetahui betapa merintihnya jiwa lelaki itu di dalam. Bertasbih kalimah Ya Allah pada setiap degupan jantungnya berdetik.
“Baiklah Pak Din...baiklah. Anuar sudah dua tahun menderita penyakit barah di dalam tubuhnya dan atas nasihat saya, saya suruh dia ke Itali pada tahun lepas untuk menjalankan kimoterapi di sana. Pada ketika itu, Qushairi sendiri tidak mengetahui akan perkara ini walaupun dia ada bercuti di Itali bersama Anuar. Anuar memberi alasan perubahan imej botaknya itu cuma melengkapkan nazar sedangkan itu kesan kimoterapi yang dijalankan. Sampailah bulan lepas Qushairi meminta saya berterus-terang dengannya bilamana dia menjumpai ubat-ubatan milik Anuar dari hospital ini.”
Pak Din menggeleng-geleng tidak menyangka. Pemergian anaknya ke Itali pada tahun lepas rupa-rupanya bukanlah sekadar percutian biasa tetapi percutian menyabung nyawa. Kenapalah aku sebagai ayah kandungnya sendiri tidak dapat melihat sebarang perubahan pada darah dagingnya sendiri. Pak Din menyalahkan dirinya sendiri terus-terusan.
“Kenapa tidak diteruskan kimoterapi tu Ehsan? Bukankah dengan kimoterapi, barah dapat dihilangkan?”
“Tidak semua kes, pakcik. Untuk kes Anuar, platelet darah merahnya dah menyusut terlalu banyak...hampir 90% sel darah putih dah menyerang sistem imunisasi dia.”
“Ya Allah, Ehsan. Kamu doktor, tiada ikhtiar lain untuk sahabat kamu ni?”
Suara Pak Din sudah bergetar nadanya. Penglihatan lelaki tua itu sudah samar-samar, airmatanya bergenang, bertakung tunggu masa untuk terburai. Doktor Ehsan memahami perasaan Pak Din namun apalah dayanya?
“Dengan keadaannya sekarang, saya hanya boleh bekalkan Anuar dengan ubat-ubatan bagi meredakan kesakitan yang dialaminya, Pak Din.”
“Sampai bila anak pakcik ni boleh bertahan, Ehsan?”
“Pak Din kuatkan diri ye...”
Doktor Ehsan sudah merangkul tubuh tua lelaki itu, dia tidak mahu semangat Pak Din goyah sepertimana terbang melayangnya semangat Bonda Yatimah tadi. Kedua-dua tangan Pak Din, erat digenggam Doktor Ehsan.
“Mengikut perkiraan doktor... Anuar punya waktu tidak lebih dari tiga minggu untuk hidup, Pak Din...”
Longlai Pak Din dalam pelukan Doktor Ehsan menerima perkhabaran itu. Persis angin panas berdesup ke gegendangnya namun cepat-cepat lelaki tua itu memulihkan semangatnya. Dia harus kuat. Dia mesti kuat! ALLAH PUNYA PERCATURANNYA SENDIRI.
Suasana hiba yang menyelubungi bilik doktor muda itu tersentak dengan kehadiran Qushairi yang terkocoh-kocoh saja lagaknya. Baik Pak Din mahupun Doktor Ehsan tepat memandang wajah Qushairi yang rentak nafasnya tidak teratur – barangkali berlari dari bilik wad terlantarnya Anuar.
“Ehsan! Pak Din! Anuar! Anuar!”
Bergegas tiga lelaki dari jurang generasi yang berbeza itu berlari menuju ke bilik wad unit rawatan rapi yang menempatkan Anuar Arasy. Anuar masih terbujur kaku. Denyutan nadi di ‘mesin nyawa’nya masih bergerak walaupun terlalu lemah pergerakannya. Ketiga-tiga mereka terkasima!
“Ya Allah, Anuar tersenyum dalam komanya Pak Din!”
Malaikat Maut datang menghampiri, tetapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut bersama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?"
Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.
Nantikan sambungan bab 10 esok..
Wednesday, August 11, 2010
// //
1 comments
//
1 comments to "Terawikh Terakhir"
(C) All Rights Reserved. Angin Malam | Free blogger templates Designed by SkinPress.com. Sponsored by: Premium Templates | Premium Themes. Distributed by: blog template
Powered by Blogger.
Followers
Blog Archive
-
▼
2010
(63)
-
▼
August
(28)
- Aku Dapat Award??
- Salam Merdeka
- Malaysia Tewas
- Chong Wei Lagi
- Lempar Najis Pada Bendera Malaysia
- Budak Perempuan Hina Malaysia, Islam dan Masjid di...
- Internet Oh Internet!!
- Hadith Hari Ini (10 Ramadhan)
- Copy & Paste Aje Dapat Hadiah
- Duit Tak Cukup..Macamana Nak Buat?
- Follower Aku Ke-100
- Siapa Follower Aku Yang Ke-100
- Hadith Hari Ini (6 Ramadhan)
- Aku Dan Nuffnang
- Kenapa Perlu Blogwalking?
- Hadith Hari Ini (5 Ramadhan)
- Aku dan Fantasy Football
- Hadith Hari Ini (4 Ramadhan)
- Hadith Hari Ini (3 Ramadhan)
- Lagenda Budak Setan Bersiri
- Hadith Hari Ini (2 Ramadhan)
- Suzuki Alto Baru
- Hadith Hari Ini (1 Ramadhan)
- Terawikh Terakhir
- Salam Ramadhan
- Fadhilat Solat Terawikh
- Kenapa Ubat Nyamuk Dipanggil Ubat Nyamuk?
- Selamat Hari Lahir Blog
-
▼
August
(28)
Anonymous says:
salam....
saya dah bca cerpen ni...tapi dapat baca smpi bab 23 je...lepas tu,yg lain hilang...hehehe....blh tlg post episod 24 smpi yg akhir x?rasa rugi tak dapat nk habiskan.... trima kasih.. :)
wanie_mokhtar90@yahoo.com